Peletakan Jawatan Anthony Loke Bukti DAP Tak Hormat Agong – Ahmad Maslan

​SHAH ALAM: Keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan menggambarkan sikap parti berkenaan yang seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

​Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, DAP sepatutnya akur dan menghormati keputusan baginda yang mempunyai kuasa mutlak dalam memberikan pengampunan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

​”Pada pandangan saya, itulah sikap mereka. Mereka tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

​”Kalau mereka menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk mengampunkan dan memberi pengampunan, tentulah beliau (Anthony Loke) tidak perlu meletakkan jawatan,” katanya.

​Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir sebagai tetamu kehormat pada Majlis Wawasan Ketuanan Melayu Pewaris Malaysia di sini, malam tadi.

​Ahmad mengulas tindakan Anthony Loke yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

​Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, Ahmad menegaskan bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sewajarnya ketika perbicaraan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

​Menurutnya, hal ini kerana pasukan peguam bela baharu beliau tidak diberikan lanjutan masa yang mencukupi untuk meneliti dokumen kes yang banyak selepas berlaku pertukaran peguam.

​”Kita tahu Datuk Seri Najib tidak diberikan keadilan ketika di Mahkamah Persekutuan apabila peguam bela beliau tidak dapat membuat pembelaan kerana tidak diberi lanjutan masa.

​”Lantas pada ketika itu, beliau tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dan dipenjara akibat ketidakadilan dari segi lanjutan masa kepada pasukan peguam bela baharu,” jelasnya.

​Tambah beliau, keputusan minoriti oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Sebli juga wajar diambil kira apabila hakim berkenaan menegaskan Najib sepatutnya dilepaskan dan dibebaskan atas dasar ketidakadilan prosedur tersebut.

​”Walaupun diampunkan, bukan diampunkan kesemuanya. Kita menjunjung kasih atas pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun beliau masih tetap perlu membayar denda RM50 juta.

​”Atas dasar ketidakadilan dan jasa begitu besar yang telah diberikan kepada negara sejak umur 23 tahun, sebagai Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Menteri, Timbalan Perdana Menteri hingga Perdana Menteri selama sembilan tahun, beliau wajar diberikan keadilan seperti rakyat yang lain,” katanya.

​Sehubungan itu, Ahmad berharap agar rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan dan sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta tersebut demi keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

BBerkaitan

Latest articles