KUALA LUMPUR: PAS seharusnya membawa hasrat hendak meneruskan kerjasamanya dengan UMNO ke dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu tanpa membuat keputusan sendiri.
Sehubungan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan keputusan muktamar parti itu yang mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).
Ini juga termasuklah hasrat PAS yang ingin berbincang dengan UMNO.
“Saya akan tanya dalam mesyuarat malam ini (mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN) sebab setahu saya tidak ada laporan yang diberikan kepada PN tentang kemajuan kerjasama.
“Kalau saya, bila saya mengadakan rundingan dengan mana-mana pemimpin politik macam yang pernah saya buat dulu dengan parti-parti lain, saya akan maklum dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak, itu saya lakukan,” katanya.
Lebih lanjut, Muhyiddin menyifatkan pendirian PAS menerusi muktamarnya baru-baru ini amat berbeza dengan pendirian Bersatu yang mahu menentang Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Muhyiddin juga menegaskan apa yang diputuskan Muktamar PAS itu memberi kesan buruk kepada PN.
“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah gabungan yang mempunyai pelbagai pendirian, tentulah tidak baik untuk masa depan PN.
“Oleh itu, kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” tambah Muhyiddin.