BN Serah Kepada SPR Tentukan Had Masa Berkempen

SRI GADING – Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan cadangan untuk melanjutkan tempoh masa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung ketika ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan untuk melanjutkan tempoh berceramah sehingga pukul 12 malam tertakluk kepada bidang kuasa pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya mengalu-alukan kalau perkara itu dilihat dan dinilai oleh pihak berkuasa jika perkara berkenaan wajar dan ketika ini saya tidak boleh mendahului hal terbabit.

“Kalau pihak kerajaan kata atau pihak berkuasa boleh buat sehingga jam 12 malam, saya lebih suka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Arena Niaga Parit Yaani, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jika pihak berkuasa menetapkan tempoh masa berceramah kempen sehingga pukul 10 malam sahaja ia adalah bagi meminimakan risiko jangkitan Covid-19 dan semua pihak perlu akur.

Katanya, Malaysia adalah negara yang berdaulat, berpelembagaan dan mengamalkan undang-undang, jadi, ianya perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa berpendapat ceramah sepanjang kempen PRN Johor seharusnya dilanjutkan sehingga 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini.

Perkara itu dizahirkan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ketika berceramah dalam satu ceramah di Skudai, Johor dengan berkata, beliau telah memaklumkan perkara berkenaan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri selepas sidang Parlimen, semalam.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan pendapat itu dalam pertemuan yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Dalam pertemuan pada jam 2 petang di Parlimen itu, kami berjumpa Perdana Menteri sambil Guan Eng menyuarakan hasrat supaya ceramah dilonggar sedikit prosedur operasi standard (SOP) apabila dibuat di tempat terbuka.

“Saya nyatakan kepada Perdana Menteri, kenapa sampai 10 malam sahaja, biarlah sampai 11 malam, namun Perdana Menteri menyatakan, jika ikut beliau, biar sampai 12 tengah malam,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles