Tukar Calon Saat Akhir Bukan Hal Janggal

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad menegaskan pertukaran akhir calon UMNO di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak memberi kesan besar kepada parti berkenaan dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Ujarnya, keputusan yang dibuat berdasarkan semangat tinggi dalam kalangan parti komponen dalam BN.

Bukan sahaja UMNO, tindakan yang sama juga diambil MCA dan MIC yang turut menukar calonnya di saat-saat akhir.

“Pertukaran akhir itu atas semangat BN, kita melihat MCA dan MIC turut mengubah calon mereka pada saat akhir.

“Tentunya UMNO memerlukan penyesuaian apabila kita telah memuktamadkan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen.

“Namun tidak bermaksud perubahan yang dibuat, calon yang diumumkan awal tidak sesuai tapi kita guna kaedah berdasarkan representasi golongan wanita tinggi dan anak muda.

“Malah keputusan memilih calon juga melihatkan kepada kriteria keseluruhan seperti kelulusan akademik yang menjadi komponen penting,” katanya di sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia, hari ini.

Terdahulu Hasni diajukan apakah kesan kepada UMNO yang bertindak menukar dua kerusi di DUN Sungai Balang dan Tanjung Surat tidak sampai 24 jam senarai calon parti itu diumumkan pada Khamis lalu.

DUN itu masing-masing terletak dalam kawasan Parlimen Muar dan Pengerang.

Dalam masa yang sama Hasni berkata, isu penolakan calon oleh akar umbi tidak timbul kerana jentera BN belum beroperasi 100 peratus lagi.

Jelas beliau, berdasarkan pengalaman BN, ia menuntut jentera parti bekerja keras secara berperingkat sepanjang tempoh berkempen pada sesuatu pilihan raya.

Namun tambahnya, kajian tetap dibuat di lapangan untuk mendapat maklum balas akar umbi parti dan pengundi.

BBerkaitan

Latest articles