Kes Buli: MARA Tidak Akan Berkompromi

PUTRAJAYA: Siasatan akan dijalankan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap sebuah sekolah berasrama di bawah pengurusannya di Perak, susulan video tular membabitkan kes buli dalam kalangan pelajarnya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan telah mengarahkan pengurusan MARA menjalankan siasatan rapi terhadap kejadian itu tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku buli membabitkan pelajar.

Malah, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA sekiranya video yang tular itu adalah benar.

“MARA juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

“Selain itu, kementerian juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Polis Perak sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sekolah berasrama di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis mengesahkan kejadian itu berlaku di negeri berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles