Selepas Parti Pejuang Tanah Air atau PEJUANG didakwa sedang berbincang dengan parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) untuk mengambil alih parti, kini parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dikhabarkan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan logo AMANAH untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Timbalan Presiden PEJUANG, Datuk Marzuki Yahya berkata, tindakan itu mungkin diambil sekiranya pendaftaran parti masih gagal.
Beliu memaklumkan pihak PEJUANG sedang merundingkan kerjasama dengan AMANAH, termasuk menggunakan panji parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Tambah Marzuki, PEJUANG akan tetap menghantar wakil untuk bertanding meskipun pendaftaran parti ditolak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Kami bukannya mahu mengambil alih atau bergabung dengan parti lain, tetapi kami mahu bekerjasama dengan mereka.
“Ini merupakan salah satu pilihan yang ada dan kami sedang berbincang dengan AMANAH, tetapi hal ini belum dimuktamadkan,” katanya.
Marzuki juga menolak andaian bahawa PEJUANG akan bekerjasama dengan Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai hubungan rapat dengan Dr Mahathir.
“Tidak, kami berbincang dengan AMANAH pada masa ini.
“Walau bagaimanapun, kami fokus kepada rayuan dengan Pendaftar Pertubuhan dan sedang menunggu keputusannya.
“Selain itu, kami juga memfokus kepada usaha membantu rakyat yang terkesan oleh wabak COVID-19,” katanya.
Menurutnya, PEJUANG masih belum berbincang mengenai jumlah kerusi dan kerusi mana yang akan ditandingi dalam pilihan raya.