Selepas timbul dakwaan PKR enggan menerima tawaran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang itu kembali menguasai Putrajaya, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan permohonan maaf kerana masih tiada keputusan muktamad yang dicapai.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata Pakatan Harapan Plus perlu mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum ianya diumumkan kepada rakyat.
Bercakap di sesi siaran langsung di Facebooknya hari ini, Anwar berkata perbincangan mengenai calon PM PH Plus juga perlu menyentuh kepada prinsip kepedulian kepada masalah rakyat dan bagaimana hendak membangunkan semula ekonomi negara sekaligus meyakinkan para pelabur.
Bagaimanapun beliau memberitahu mesyuarat gabungan pembangkang yang berlangsung minggu lalu sudah mempunyai keputusan, namun tidak dapat diumumkan lagi kerana mengambil kira beberapa aspek.
“Sebab itu kita (PH Plus) memohon maaf kerana kita terpaksa menangguhkan sedikit pengumuman mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara kita,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada semalam turut mengatakan keputusan mengenai calon PM masih belum dimuktamadkan.
Selanjutnya Anwar memberitahu PH Plus perlu memandang serius soal pentadbiran negara yang didakwanya semakin memburuk selepas diambil alih Perikatan Nasional (PN).
“Itu semua kerana perubahan yang berlaku dibawah pimpinan PN. Jadi, bagi kita perubahan itu mendesak dan harus disegerakan
“Tetapi janganlah menyegerakan sehingga mengorbankan prinsip utuh iaitu perubahan itu mesti dengan maksud kepedulian terhadap pemasalahan rakyat, mesti dengan kesedaran bahawa perubahan ini akan membawa perubahan dalam negara, memberi keyakinan kepada pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi dan ini menjadi persoalan pokok dalam PH,” kata Anwar.