Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan prosedur operasi standard yang akan dijalankan pihaknya pada pilihan raya kecil Chini, 4 Julai depan.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata pengundi yang tidak melepasi saringan suhu badan masih dibenarkan untuk mengundi, namun dilakukan di khemah yang khas serta dipantau oleh petugas kesihatan.
Dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini, Azhar bagaimanapun memberitahu SOP untuk mereka yang positif Covid-19 dan masih di bawah status perintah pengawasan dan pemerhatian dan masih menjalani rawatan akan dimaklumkan kemudian.
“SPR akan mengemaskini SOP ini selrasa dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” demikian memetik kenyataannya.
PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun kerana sakit jantung pada 7 Mei lalu.
Setakat ini, hanya Umno sahaja menyatakan kesediannya untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala PH memaklumkan tidak akan bertanding.