Awas! Perokok Lebih Berisiko Tinggi Dapat Komplikasi Jika Dijangkiti Covid-19

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memberi peringatan kepada golongan perokok supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi Covid-19 jika dibandingkan dengan bukan perokok.

Keadaan ini disebabkan kerana tabiat merokok boleh merosakkan fungsi paru-paru dan sistem pertahanan badan menjadi lemah untuk melawan koronavirus dan penyakit lain.

Selain perokok, komplikasi lebih tinggi juga bakal dihadapi oleh mereka yang menghidap darah tinggi dan penyakit kencing manis.

Data itu diperolehi berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 dilancarkan baru-baru ini.

“Golongan ini berisiko mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti COVID-19 apatah lagi jika punyai risiko tambahan seperti amalan merokok.

“Memandangkan 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada komplikasi COVID-19 berbanding mereka yang tidak merokok.

“Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang telah dijalankan ke atas 86 dari jumlah pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia mendapati 19.8 peratus (17 orang) adalah terdiri daripada golongan perokok.

“Analisa juga mendapati bahawa kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok, iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus,” kata Dr Noor Hisham.

BBerkaitan

Latest articles