Mario Balotelli dilaporkan akan ‘angkat kaki’ meninggalkan kelabnya Brescia selepas bertelagah dengan Presiden Kelab, Massimo Cellino.
Memetik laporan dari Dailymail, pemain itu masih memiliki kontrak dua tahun namun dia bersetuju menamatkan kontraknya bersama Brescia lebih awal iaitu pada penghujung musim ini.
Laporan di Itali menjelaskan bekas penyerang Manchester City itu tidak hadir ke latihan selama 10 hari selepas berkelahi dengan Cellino.
Balotelli memberi alasan dia mengalami masalah di perut namun dia didapati berlatih secara berseorangan sebelum latihan berkumpulan dimulakan, dijadualkan semalam.
Brescia tampak akan kembali ke Serie B pada penghujung musim ini selepas ketinggalan sembilan mata daripada zon selamat ketika saingan berbaki 12 perlawanan.
Balotelli diberi sambutan wira apabila menyertai pasukan itu daripada Marseille secara percuma, musim panas lalu.
Namun penyerang berusia 29 tahun itu berdepan detik sukar di Lombardy apabila menerima sorakan berbaur perkauman dari penyokong lawan namun ia tidak diendahkan presiden dan penyokong pasukan terbabit.
BACA JUGA – FIFA Salurkan Bantuan Covid-19
Terdahulu, Brescia enggan mengulas mengenai di mana Balotelli dan Cellino didakwa menyesal kerana menawarkan kontrak selama tiga tahun kepada pemain itu selain kehadirannya mengganggu keharmonian pasukan.
Keputusan mereka menawarkan gaji 16,000 pound (RM85,400) seminggu juga tampak mendatangkan masalah memandangkan mereka perlu bersetuju dengan pampasan bagi penamatan kontrak lebih awal.
Balotelli beraksi dalam 19 perlawanan namun hanya meledak lima gol. – TRI