Ketua Penerangan Bersatu Pula Sanggah Kenyataan Marzuki

Selepas timbul kenyataan Marzuki yang mendakwa dirinya Setiausaha Agung, Ketua Penerangan PPBM, Dr Radzi Jidin hari ini tampil menerangkan keadaan sebenar pendirian MPT PPBM tempoh hari.

Dakwanya Dr Mahathir Mohamad sendiri pada dasarnya bersetuju PPBM keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau membuat pendedahan itu hari ini selain berkata perancangan untuk keluar daripada PH sudah lama dibuat dan bukan secara terburu-buru.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM dalam mesyuaratnya pada 23 Februari 2020 membuat keputusan yang jelas untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru dengan parti-parti lain di luar PH.

 

“Justeru, dakwaan YB Senator Marzuki (Yahya) bahawa MPT tidak pernah membuat keputusan itu adalah tidak benar sama-sekali. Malah keputusan ini bukanlah dibuat secara tergesa-gesa. Ia telah dibincang di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik PPBM pada 21 Februari 2020 dan mesyuarat MPT PPBM pada 23 Februari 2020.

“Saya juga ingin menjelaskan kepada ahli PPBM bahawa perancangan untuk membawa PPBM keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru diketahui dan disokong oleh Tun sendiri.

“Hanya pada saat-saat akhir ketika perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, Tun mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“(Oleh) kerana itu, ramai yang berpandangan tiada lagi kesepakatan dalam PH.

“Selain itu, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk DAP dan mereka mahu parti mengkaji semula hubungan PPBM dengan DAP dalam PH.

“Demi kelangsungan perjuangan parti pada masa hadapan, langkah mula diambil untuk membawa PPBM keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru,” katanya.

Radzi berkata, kemuncak usaha ini ialah pada 23 Februari 2020.

“Mesyuarat MPT PPBM pada hari tersebut dimaklumkan bahawa Tun mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat yang terdiri daripada ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, GPS, Warisan dan sebahagian ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh (Mohamed) Azmin Ali.

“Dengan sokongan ini, Tun boleh membentuk sebuah kerajaan baru dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

“Dengan sokongan padu kepada Tun, MPT PPBM memutuskan untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru. Namun, Tun tidak bersetuju dengan keputusan ini.

“Sebaliknya, beliau mahu kekal berada dalam PH kerana mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 memutuskan untuk menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh beliau hendak melepaskan jawatan perdana menteri.

“Atas rasa hormat kepada Tun, MPT bersetuju memberikan sedikit masa kepada beliau untuk mengumumkan keputusan yang dipersetujui oleh mesyuarat MPT. Dengan kata lain, keputusan untuk keluar PH telah dibuat, cuma pengumumannya sahaja ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun pada 24 Februari Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM dengan alasan tidak mendapat sokongan MPT parti itu.

“Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan PPBM, apabila pengerusi berhenti, maka presiden memangku jawatan pengerusi. Sebagai presiden dan pemangku pengerusi Muhyiddin Yassin pada hari yang sama membuat pengumuman keluar PH sebagaimana yang diputuskan oleh MPT dalam mesyuarat sehari sebelumnya,” katanya,

Beliau berkata, dakwaan mengatakan MPT PPBM tidak pernah membuat keputusan keluar PH adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh fakta.

Mahathir boleh kembali sebagai pengerusi PPBM hanya melalui pemilihan

Dalam pada itu katanya, status dan kedudukan Mahathir sebagai pengerusi PPBM hanya boleh disahkan melalui pemilihan parti, bukannya melalui keputusan MPT.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa menurut Fasal 16.9 perlembagaan PPBM, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan maka presiden hendaklah memangku jawatan tersebut sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru.

“Dalam tempoh tersebut, pemangku pengerusi boleh melaksanakan tanggungjawab pengerusi seperti termaktub dalam Fasal 16.2 perlembagaan parti.

“Oleh kerana Tun telah meletak jawatan sebagai pengerusi pada 24 Februari 2020, maka jawatan pengerusi dipangku Muhyiddin sehingga pemilihan parti diadakan untuk memilih pengerusi baru. Buat masa ini tarikh pemilihan MPT masih belum ditetapkan.

“Benar, mesyuarat khas MPT pada 24 Februari 2020 telah menolak peletakan jawatan Tun sebagai pengerusi. Namun, setelah disemak dari sudut perlembagaan parti, tiada sebarang peruntukan yang membenarkan MPT mengembalikan semula jawatan pengerusi kepada pemegangnya yang meletak jawatan.

“Perkara ini adalah di luar batasan bidang kuasa MPT apabila terdapat peruntukan bertulis yang jelas mengenainya dalam Fasal 16.9,” katanya.

“Tiada mana- mana ahli atau pemimpin, hatta pemimpin tertinggi parti sekalipun yang mempunyai kuasa melangkaui perlembagaan parti.

“Dengan kata lain, tiada sesiapapun yang berkuasa mutlak di dalam parti,” katanya sekali gus meminta ahli PPBM terus memelihara perpaduan dengan menjadikan perlembagaan parti sebagai panduan.

Dalam kenyataanya juga, Radzi memaklumkan Marzuki tidak lagi menjawat jawatan setiausaha agung PPBM.

“Beliau telah diberhentikan pada 18 Mac 2020. Hamzah Zainuddin dilantik sebagai setiausaha agung yang baru pada 26 Mac 2020,” katanya.

Pendirian PPBM berhubung keputusan keluar PH menjadi pertikaian apabila Marzuki semalam mendakwa MPT parti tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan politik itu.

Dengan mendakwa dirinya masih setiausaha agung, Marzuki berkata, mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Februari lalu membuat 2 keputusan iaitu menolak peletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti serta menetapkan bahawa beliau adalah calon tunggal bagi jawatan perdana menteri.

BBerkaitan

Latest articles