Undang-Undang Berkaitan Pemandu Mabuk Akan Dikaji Semula – Hamzah Zainuddin

Kerajaan akan menggubal undang-undang berkaitan pemandu mabuk bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman lebih berat pada masa hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi menggubal kembali undang-undang berkaitan pemandu mabuk yang diguna pakai sejak 2005.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi menggubal kembali undang-undang berkaitan pemandu mabuk yang diguna pakai sejak 2005.

 

Jelasnya, undang-undang berkaitan kali terakhir dipinda 15 tahun lalu, dan sudah masanya ia dilihat dan dikaji semula bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

“Kita akan bincang dengan Kementerian Pengangkutan dari segi undang-undang (berkaitan pemandu mabuk) yang diguna sejak 2005 dan sudah berusia 15 tahun.

“Kali ini kita hendak supaya undang-undang ini diperhebat lagi supaya pemandu mabuk boleh dikenakan tindakan denda atau yang lebih berat sehingga individu mabuk berfikir untuk memandu,” katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Padang Besar

Terdahulu Hamzah melakukan lawatan kerja dan meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand serta Terminal Kargo Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Padang Besar.

Ketika ini, individu yang didapati memandu dalam pengaruh alkohol akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.

Sementara itu, Hamzah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, yang maut akibat dirempuh pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipercayai mabuk di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pagi tadi.

“Saya sedih kerana kejadian ini berlaku pada awal pagi dan pemandu itu sepatutnya tidak keluar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun sedang bertugas melakukan sekatan jalan raya berdekatan Plaza Tol Kajang Selatan, dirempuh Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

BBerkaitan

Latest articles