Fahmi Puji Bersatu Bahas RCI Tabung Haji, Kritik Sikap Parti PN Lain

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bersatu yang terus mengambil bahagian dalam perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat sebagai langkah tepat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pendirian itu berbeza dengan beberapa parti pembangkang lain dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang memilih meninggalkan Dewan Rakyat ketika sidang khas berhubung laporan berkenaan berlangsung.

Menurutnya, kehadiran Ahli Parlimen Bersatu membolehkan mereka menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat dengan membahaskan isu yang berkepentingan kepada institusi Tabung Haji.

“Setidak-tidaknya Ahli Parlimen daripada Bersatu menjalankan fungsi mereka semalam dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI Tabung Haji.

“Itu adalah keputusan yang bijak, tepat dan berbeza dengan sikap parti pembangkang lain daripada PN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Pada sidang khas Dewan Rakyat semalam, beberapa Ahli Parlimen PN daripada PAS dan Wawasan dilaporkan meninggalkan Dewan dan tidak meneruskan perbahasan laporan RCI TH susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi turut mengingatkan bahawa RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021, ketika PAS dan Ketua Pembangkang ketika ini masih berada dalam Jemaah Menteri.

Katanya, laporan RCI pula disiapkan pada 2022 ketika mereka masih menjadi sebahagian daripada kerajaan, manakala portfolio hal ehwal agama pada ketika itu turut diterajui menteri daripada PAS.

Mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya satu lagi RCI ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan TH bagi tempoh 2021 hingga 2025, Fahmi berkata perkara itu perlu melalui proses tertentu sebelum boleh dilaksanakan.

Beliau menjelaskan, keputusan berhubung cadangan tersebut perlu dipertimbangkan terlebih dahulu oleh Jemaah Menteri sebelum dikemukakan untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada dua keputusan yang perlu dibuat. Pertama, di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan ataupun mengembangkan siasatan.

“Oleh kerana ia Suruhanjaya Siasatan Diraja, keputusan itu juga perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Cadangan RCI baharu itu dikemukakan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam sidang khas Dewan Rakyat semalam.

Mereka berpandangan skop siasatan sedia ada yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 perlu diperluaskan bagi meneliti perkembangan pengurusan TH antara 2021 hingga 2025.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata kerajaan kini menyerahkan dapatan laporan RCI TH kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, pihak berkuasa boleh meneliti maklumat yang terkandung dalam laporan berkenaan, termasuk maklumat tambahan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan segala perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI dapat diteliti berdasarkan fakta dan maklumat yang tersedia.

BBerkaitan

Latest articles