JOHOR BAHRU: Polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan yang dimuat naik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di media sosial susulan penerimaan 153 laporan polis dari seluruh negara setakat jam 3 petang hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu, dua laporan dibuat di Johor masing-masing oleh seorang bekas Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor pada jam 10.53 pagi serta 12.13 tengah hari.
Menurut beliau, jumlah laporan yang diterima dijangka terus meningkat berikutan perkembangan semasa berkaitan isu tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang melibatkan perbuatan atau kenyataan berunsur hasutan, selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran atau khianat awam.
Sehubungan itu, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengelakkan sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Ab Rahaman turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan platform digital atau aplikasi komunikasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta menggalakkan budaya komunikasi yang berhemah, berasaskan fakta dan saling menghormati demi menjaga keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.










