13 Bahagian Bersatu Kelantan Sokong Muhyiddin

13 Bahagian Bersatu Kelantan menyatakan sokongan buat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, di kala parti tersebut sedang bergolak dengan isu pemecatan lima pemimpinnya termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sokongan tersebut turut datang daripada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikhmal Hisyam Abdul Aziz.

“Bersatu Kelantan melalui pimpinan negeri ingin mengulangi sikap kami untuk menyokong dan berdiri teguh bersama Mahyuddin selaku pemangku pengerusi dan presiden Bersatu merangkap perdana menteri Malaysia dalam memimpin parti dan kerajaan pada masa ini.

“Negara yang kini sedang berdepan dengan ancaman penyakit wabak pandemik covid-19, berserta dengan kesan buruk ekonomi yang dahsyat, memerlukan kepimpinan yang matang dan berpengalaman serta sangat cakna rakyat dalam menangani masalah-masalah tersebut,” demikian memetik kenyataan tersebut.

Jumaat lalu, keanggotaan Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah terlucut selepas mengambil pendirian bertentangan dengan parti apabila menyokong Pakatan Harapan (PH).

Dilaporkan hanya satu sahaja bahagian Bersatu yang tidak menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin, iaitu Bahagian Machang.

Kesemua yang menyokong mengatakan bahawa Muhyiddin mempunyai kriteria kepimpinan yang baik dalam menerajui negara ketika berdepan krisis mutakhir ini.

“Tokoh yang mempunyai ciri-ciri tersebut ialah Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau walaupun baru dibentuk tiga bulan yang lalu, terbukti telah dapat membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Serentak dengan itu beliau bersama jemaah menterinya sedang rancak menangani usaha pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Oleh itu tidak wajar beliau diganggu gugat kedudukannya supaya tumpuan fikiran, tenaga dan masa beliau dipergunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah negara,” jelas kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles