11 Pemandu Mabuk Ditahan Polis Malam Tadi Dalam Sekatan Jalan Raya

Malam tadi sahaja, 11 orang pemandu mabuk telah ditahan oleh polis kerana didapati memandi di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di empat tempat sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Jika difikirkan, ada 11 kebarangkalian bahawa ada seorang daripada pemandu mabuk ini akan menyebabkan orang lain tercedera atau maut dalam kemalangan.

Menurut laporan Harian Metro Online, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 35 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur terbabit dalam operasi bermula 9 malam tadi di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah.

“Hasil pemeriksaan terhadap 150 kenderaan sehingga 11 malam tadi, kami mendapati 11 pemandu berusia 30 hingga 50 tahun memandu dalam keadaan mabuk dengan bacaan melebihi had dibenarkan pada ujian saringan awal.

BACA JUGA – Undang-Undang Berkaitan Pemandu Mabuk Akan Dikaji Semula

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk ujian saringan kali kedua sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Beliau mengetuai pemeriksaan SJR Op Mabuk di Jalan Hang Tuah di ibu negara.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon.

Mazlan berkata, pemandu didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi itu akan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi tempoh 26 Mei lalu sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 30 kes membabitkan kesalahan mengikut seksyen sama direkodkan menerusi Op Mabuk dilakukan di ibu kota ini.

“Selain itu, sebanyak tiga kes pula direkodkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 45C akta sama sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman keras tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, orang ramai yang mengambil minuman keras dinasihatkan supaya tidak memandu dan menggunakan perkhidmatan e-hailing atau teksi selain perkhidmatan awam. – TRI

BBerkaitan

Latest articles