KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
Dalam penghakimannya, Rosli berkata mahkamah berpuas hati bahawa unsur-unsur kesalahan yang didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
“Mahkamah ini memutuskan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan dalam kes ini. Pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada ketiga-tiga pertuduhan pindaan yang dihadapinya,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Susulan keputusan itu, mahkamah turut membatalkan jaminan yang sebelum ini dikenakan terhadap Zizie, mengarahkan wang jaminan dipulangkan kepada penjamin serta memulangkan pasport miliknya selain membatalkan syarat-syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie diwakili barisan peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Sementara itu, Mohd Fadhly memaklumkan pihak pendakwaan masih belum membuat keputusan sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan dan akan menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara.
Zizie, 48, sebelum ini didakwa bersubahat dengan Allahyarham suaminya, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, memperoleh suapan keseluruhan RM2.8 juta sebagai balasan membantu mendapatkan kelulusan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat memperoleh wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, sebagai dorongan untuk Bung Moktar, ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II bagi pelaburan tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima RM262,500 melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan menerima RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang juga didaftarkan atas nama Zizie.
Kes berprofil tinggi itu melalui beberapa peringkat prosiding sejak 2022. Pada September tahun itu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-duanya.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada September 2023 membebaskan pasangan itu selepas membenarkan permohonan semakan mereka.
Keputusan itu kemudian diketepikan Mahkamah Rayuan pada November 2024 yang mengarahkan kedua-duanya kembali membela diri.
Pada 16 Januari lalu, Bung Moktar dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berikutan kematiannya pada 5 Disember 2025.
Dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini, Zizie turut dibebaskan sepenuhnya daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya selepas perbicaraan penuh.










