BANGI: Cadangan memperluaskan pelaksanaan tahanan rumah kepada semua banduan tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penelitian lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan KDN sedang meneliti kemungkinan menjadikan tahanan rumah sebagai pendekatan baharu.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, supaya membincangkan cadangan berkenaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menegaskan tanggungjawabnya tertumpu kepada aspek perundangan dan reformasi institusi, manakala penelitian mekanisme tahanan rumah perlu dirujuk kepada kementerian berkaitan.
Semalam, Mohamad mencadangkan supaya banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman diteruskan menerusi tahanan rumah bagi memastikan layanan sama rata tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Presiden AMANAH itu turut menggesa badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan cadangan berkenaan dan menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi membiayai usaha itu.










