KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menziarahi anggota polis yang cedera parah selepas ditetak menggunakan parang dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, semalam.
Lawatan kebajikan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu bertujuan meninjau perkembangan kesihatan Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, selain menyampaikan sokongan moral kepada anggota berkenaan dan keluarganya.
Mangsa yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, mengalami kecederaan serius apabila pergelangan tangan kanannya putus ditetak seorang lelaki warga asing ketika menjalankan tugas.
Beliau pada awalnya menerima rawatan di Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL untuk menjalani pembedahan bagi menyambung semula pergelangan tangan yang terputus.
Dalam kunjungan itu, Saifuddin dan Mohd Khalid turut menyampaikan kata-kata semangat serta menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan anggota berkenaan.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar serta beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).










