KUALA PILAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri itu dan tidak perlu turun berkempen di Negeri Sembilan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu depan.
Menurut Presiden UMNO itu, masih berbaki enam hari sebelum pengundian dan tempoh tersebut sepatutnya dimanfaatkan Sanusi untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran Kedah.
“Saya fikir lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada urusan mentadbir negeri Kedah. Tidak perlulah datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan negeri ini dengan cara kami sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang.
Dalam pada itu, Zahid turut melahirkan rasa kurang senang terhadap kenyataan Sanusi yang mengaitkan kaum di Malaysia dengan negara asal masing-masing ketika berucap dalam satu ceramah pada Khamis.
Beliau menegaskan pemimpin politik tidak sepatutnya membangkitkan isu berkaitan kaum, agama, budaya atau latar belakang etnik sekiranya benar-benar mahu memperkukuhkan perpaduan rakyat.
“Saya yakin kepelbagaian kaum dan latar belakang masyarakat di Malaysia adalah satu sunnatullah yang telah ditentukan. Justeru, tidak perlulah menyentuh perkara-perkara yang boleh mengundang salah faham atau menggugat keharmonian,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata, “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menggesa BN menilai semula kerjasama pilihan rayanya dengan Perikatan Nasional (PN), termasuk mempertimbangkan untuk bergerak secara solo pada PRN akan datang.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan yang merupakan komponen PN turut menolak kenyataan berkenaan sambil menegaskan Malaysia adalah satu-satunya tanah air yang diiktirafnya.










