SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memperhebatkan urusan pentadbiran negeri dengan mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau exco sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi menyelesaikan pelbagai perkara tertangguh susulan hampir dua bulan tidak bermesyuarat.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan setiap Selasa dan Khamis bermula minggu depan, malah kekerapan itu boleh ditambah mengikut keperluan bagi memastikan segala urusan pentadbiran dapat diselesaikan segera.
Menurutnya, sebahagian besar kertas kerja yang masih tertangguh membabitkan kepentingan rakyat dan memerlukan perhatian serta tindakan segera kerajaan negeri.
“Seawal minggu depan, saya tetapkan mesyuarat exco diadakan pada Selasa dan Khamis dan mungkin lebih kerap lagi supaya dapat menyelesaikan tunggakan yang berlaku,” katanya menurut Bernama selepas istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan exco di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Beliau berkata, mesyuarat exco akan datang turut memberi tumpuan kepada pengesahan Belanjawan Negeri Sembilan sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Selain itu, kerajaan negeri akan mendapatkan perkenan baginda berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlangsung bulan depan.
Mengulas pembahagian portfolio, Ismail berkata, setiap exco baharu dijangka diberikan sekurang-kurangnya dua portfolio bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, katanya, pembahagian berkenaan masih dalam penelitian dan dijangka diumumkan dalam tempoh sehari atau dua hari.
Beliau menjelaskan, beberapa portfolio mungkin perlu digabungkan dengan mengambil kira kesesuaian bidang tugas serta hubungan antara portfolio bagi memudahkan setiap exco melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kita ada banyak portfolio dan mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio.
“Jadi, sebab itulah ambil masa sikit untuk teliti betul-betul mengikut kesesuaian. Kalau tidak berkaitan antara satu sama lain pun susah juga exco nak bawa,” katanya.
Terdahulu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada empat wakil Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Perikatan Nasional (PN), mengangkat sumpah sebagai exco baharu kerajaan negeri.
Mereka ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).
Ismail turut memaklumkan kerajaan negeri akan mempertimbangkan pelantikan wakil wanita dalam pentadbiran negeri.










