KPKM Bantu Penternak Khinzir Tanjong Sepat Beralih Kepada Perniagaan Lain

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membantu penternak khinzir di Tanjong Sepat, Selangor beralih kepada bidang perniagaan lain susulan penutupan aktiviti penternakan di kawasan berkenaan.

Kementerian itu berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan kelangsungan sumber pendapatan penternak terlibat menerusi penerokaan peluang baharu dalam sektor pertanian dan industri makanan.

Menurut KPKM, antara bidang yang dikenal pasti sebagai pilihan peralihan termasuk penternakan lembu, kambing dan biri-biri, pertanian moden, tanaman kontan bernilai tinggi serta akuakultur.

Bagi merealisasikan usaha itu, kementerian mengadakan Sesi Libat Urus Program Peralihan Peserta Penternak Khinzir Tanjong Sepat pada 26 November di Putrajaya.

Sesi berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

KPKM berkata, program itu turut melibatkan beberapa agensi di bawah kementerian dan institusi berkaitan bagi menyediakan khidmat nasihat teknikal serta perkongsian maklumat kepada penternak.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang, Agrobank dan Bioeconomy Corporation.

Menurut kementerian, pendekatan bimbingan secara berstruktur itu penting bagi membantu peserta mengenal pasti peluang ekonomi bersesuaian serta mengurangkan risiko sepanjang proses peralihan kepada subsektor pertanian lain.

“KPKM prihatin terhadap cabaran dihadapi pemain industri dan yakin inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka peluang baharu bagi menjamin kelangsungan ekonomi penternak terlibat, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekosistem makanan negara,” menurut kenyataan itu.

Usaha berkenaan merupakan antara langkah membantu penternak terjejas menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkaitan aktiviti penternakan khinzir di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles