YTL Corp Catat Lonjakan Untung Suku Keempat, Disokong Segmen Utiliti dan Simen

KUALA LUMPUR — YTL Corporation Bhd melaporkan peningkatan ketara dalam keuntungan suku tahunan, dipacu prestasi kukuh daripada segmen utiliti dan simen, sekali gus menunjukkan ketahanan konglomerat itu dalam suasana pasaran yang bercampur.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2025 (S4 2025), hasil YTL Corp meningkat 5 peratus suku ke suku kepada RM7.67 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 42 peratus kepada RM1.4 bilion. Keuntungan bersih turut naik 40 peratus kepada RM1.03 bilion berbanding RM735.4 juta pada suku sebelumnya.

Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 5 sen sesaham, yang akan dibayar pada 23 Oktober 2025.

YTL Power: Untung Naik 44%, Dividen 8 Sen Setahun

Anak syarikat utama, YTL Power International Bhd, mencatat pertumbuhan hasil 14% kepada RM5.55 bilion bagi suku berakhir 30 Jun 2025. Keuntungan selepas cukai meningkat 44% kepada RM731.3 juta berbanding RM508.2 juta pada suku sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh pelarasan harga air dan kumbahan di UK serta margin lebih baik dalam penjanaan kuasa. YTL Power mengisytiharkan dividen interim kedua 4 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen setahun sebanyak 8 sen

Malayan Cement: Untung Sebelum Cukai Melonjak 84%

Sementara itu, Malayan Cement Bhd melaporkan hasil RM1.11 bilion, naik 7% berbanding suku sama tahun lalu. Keuntungan sebelum cukai melonjak 84% kepada RM265.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 50% kepada RM165.3 juta.

Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim 7 sen sesaham, dengan pembayaran pada 2 Oktober 2025. Peningkatan prestasi disumbangkan oleh pelaburan dalam kecekapan operasi, inisiatif ESG serta pengurangan kerugian penilaian aset kilang Rawang

Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, YTL Group mengekalkan hasil hampir stabil pada RM30.82 bilion, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM3.43 bilion, sedikit menurun berbanding RM3.90 bilion tahun sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif YTL Corp, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh Sock Ping, berkata strategi penambahbaikan kos, inovasi dan kepimpinan kukuh telah menyumbang kepada pencapaian positif di semua unit perniagaan, meskipun dalam persekitaran pasaran mencabar

Sementara itu Saham YTL naik dua sen atau 0.75% untuk ditutup pada RM2.70, menjadikannya mempunyai modal pasaran sebanyak RM31.02 bilion.

YTL Power, yang bakal melancarkan model bahasa besar ILMU serta bank digital Ryt Bank kepada orang ramai, ditutup lapan sen atau 1.89% lebih tinggi pada RM4.32, dengan nilai modal pasaran sebanyak RM37.22 bilion manakala Malayan Cement pula susut lima sen atau 0.93% kepada RM5.32, menjadikannya bernilai RM7.21 bilion dari segi modal pasaran.

BBerkaitan

Latest articles