JASIN: Pemandu bas ekspres yang mencetuskan kontroversi selepas tular memandu sambil meriba seorang wanita dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert berkata, lelaki berusia 36 tahun itu telah berjaya dihubungi pihak polis, namun kini berada di Sungai Besi, manakala wanita berkenaan pula dilaporkan berada di Kedah.
Menurutnya, kedua-dua individu terbabit telah memaklumkan akan hadir ke IPD Jasin bagi memberi keterangan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan akan diteruskan sebaik mereka tampil esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu tersebut sudah berkahwin, manakala wanita yang diriba dipercayai sekadar kenalan.
Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi lapan saat tular di media sosial, dipercayai berlaku di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, arah selatan, kira-kira jam 7.30 malam Ahad lalu.
Ketika kejadian, bas ekspres berkenaan dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru.










