KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pukul 3.10 pagi.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor sedang menjalankan rondaan dan mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang seorang lelaki di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak polis mengekori dan berjaya menahan motosikal tersebut di kawasan berhampiran.
“Semasa pihak polis hendak turun bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan menyebabkan pihak polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil pemeriksaan polis mendapati suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 63 tahun telah terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis katanya, turut menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di atas jalan berhampiran dengan suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi sama.
Menurut Kumar, semakan rekod polis mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod bawah Akta Senjata 1960 dan satu rekod masih dikehendaki.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan Seksyen 3 Aktar Senjata Api (Penalti Lebih Berat) iaitu melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan kesalahan berjadual, katanya.