Wanita Tarik Sultan Nazrin Ketika Sambutan Hari Kebangsaan Mengaku Salah, Didenda RM500

IPOH: Seorang wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini sebelum dijatuhi hukuman denda RM500.

Majistret Norizan Riduan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, selepas tertuduh membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, wanita itu boleh dipenjara selama sebulan.

Mengikut pertuduhan, Nurhaswani didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, dalam daerah Kinta pada kira-kira jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan itu memandangkan ia berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan dan melibatkan Sultan Perak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berpakaian serba hitam telah naik ke pentas acara sebelum secara tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.

Sementara itu, peguam bela, Naran Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya telah memohon keampunan daripada Sultan Perak atas perbuatannya.

Beliau berkata, Nurhaswani yang merupakan ibu tunggal sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan bergantung kepada anak-anaknya.

Menurutnya, tertuduh juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta menghidap skizofrenia dan pernah menerima rawatan bagi masalah kesihatan mental itu.

Peguam turut memohon mahkamah mengambil kira tempoh tahanan selama 55 hari yang telah dilalui tertuduh, termasuk ketika reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.

Pada 8 September tahun lalu, Nurhaswani pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan sama, namun tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

BBerkaitan

Latest articles