Usahawan Gesa SPRM Percepat Siasatan Dakwaan Ketidakpadanan Dokumen Kargo Petroleum di Tanjung Langsat

PUTRAJAYA, Seorang Ahli perniagaan, Datuk Seri R. Jeyenderan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan terhadap dakwaannya berhubung ketidakpadanan antara bil muatan (Bill of Lading, BL) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, yang didakwa melibatkan urus niaga bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan sahaja berpotensi menyebabkan kerugian kepada kerajaan, malah boleh memberi implikasi terhadap aspek keselamatan negara sekiranya tidak ditangani segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu berkata, beliau telah membuat laporan rasmi kepada SPRM pada 5 Jun lalu dan kini masih menunggu hasil siasatan.

“Hari ini genap sebulan dua hari sejak saya membuat laporan. Saya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk mendapatkan perkembangan terkini kerana perkara ini melibatkan urus niaga bernilai jutaan ringgit dan mempunyai implikasi yang besar.

“Saya telah berjumpa pegawai penyiasat dan beliau memberi jaminan bahawa siasatan masih berjalan serta memerlukan sedikit masa lagi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Jeyenderan yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri maritim sebelum ini menjelaskan bahawa antara risiko terbesar kepada ejen perkapalan ialah apabila pergerakan fizikal kargo tidak lagi sepadan dengan dokumen penghantaran.

Menurut beliau, sebarang ketidakselarasan antara pengendalian operasi dan dokumentasi boleh mendedahkan semua pihak dalam rantaian logistik, termasuk ejen perkapalan, kepada pelbagai risiko.

Katanya, walaupun ejen perkapalan bukan pemilik kargo atau pihak yang menerima manfaat daripada urus niaga tersebut, mereka tetap berdepan risiko operasi kerana pihak berkuasa, terminal dan rakan niaga bergantung kepada arahan serta pengisytiharan yang diproses melalui mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, syarikat ejen perkapalan kini semakin menitikberatkan integriti dokumentasi, kawalan pematuhan dalaman dan proses pengesahan pelanggan atau know-your-customer (KYC).

Jeyenderan berkata, keadaan menjadi lebih rumit dalam urus niaga minyak yang kompleks apabila ejen perkapalan menerima arahan berbeza daripada pedagang, penerima, pengendali terminal, ejen penghantaran dan penyedia logistik yang tidak semestinya selaras dengan bil muatan asal.

“Apabila setiap pihak mula beroperasi berdasarkan versi dokumentasi yang berbeza mengenai sesuatu kargo, tahap risiko akan meningkat kerana ejen masih bertanggungjawab memastikan konsistensi dari sudut operasi dan pematuhan peraturan,” katanya.

Mengulas mengenai amalan pencampuran (blending) dan penggabungan (commingling) minyak selepas proses pelepasan kargo, beliau berkata amalan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam industri, namun pengesanan asal-usul kargo menjadi semakin sukar selepas ia memasuki sistem simpanan dan bercampur dengan inventori sedia ada.

Menurutnya, sekiranya keadaan kargo berubah akibat pemindahan, pencampuran atau pengendalian tambahan, dokumentasi serta proses pengelasannya juga perlu dikemas kini bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia dan komersial.

Beliau turut mengingatkan bahawa apabila rekod Jabatan Kastam, dokumen bil muatan, ukuran tangki simpanan dan kedudukan sebenar kargo tidak lagi selaras, industri berisiko kehilangan keupayaan menjejaki pergerakan kargo, sekali gus boleh mewujudkan jurang pematuhan, pertikaian komersial serta kebocoran hasil.

Tambah beliau, pengendalian kargo selepas pelepasan yang melibatkan pemindahan antara tangki dan pergerakan dalam sistem simpanan merupakan antara aspek yang memerlukan penelitian lebih rapi di peringkat global, khususnya apabila dokumentasi tidak lagi mencerminkan perubahan fizikal terhadap kargo berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles