Usaha PN Hendak Jatuhkan Kepimpinan Ismail Sabri Punca Pelabur Berasa Ragu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyelar sikap beberapa pihak yang tidak henti-henti hendak menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akhirnya menjadi punca keyakinan para pelabur terhadap Bursa Malaysia terjejas.

Tegasnya, sudahlah negara masih dalam fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19, kini Perikatan Nasional (PN) didakwa berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baru.

“Ketika ini, blok ahli parlimen kerajaan terbesar iaitu Perikatan Nasional (PN) masih mahu tumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui cara berpakat dengan PH untuk mendapat sokongan 119 ahli parlimen.

“Menteri-menteri utama kewangan, ekonomi, perdagangan dan pengerusi Majlis pemulihan negara juga dari blok yang mahu tumbangkan PM,” dakwa bekas perdana menteri itu yang mengulas prestasi buruk pasaran saham tempatan.

Kata Najib, dari segi prestasi sejak PRU14, pasaran saham Malaysia adalah antara paling corot dalam dunia.

Jauh berbeza sebelum PRU14 yang mana Bursa Malaysai merupakan pasaran saham dalam trend menaik paling lama dalam dunia – indeks bursa naik ke paras paling tinggi dalam sejarah dengan 1,896 mata.

Najib turut mempersoalkan mengapa pasaran saham Malaysia menjadi satu-satunya yang bertambah teruk berbanding sebelum pandemik Covid-19 menyerang negara dua tahun lalu.

“Macam mana pasaran saham kami hari ini lagi teruk berbanding masa Covid bermula sedangkan ekonomi kami sudah dibuka semula, harga-harga komoditi eksport semakin tinggi dan prestasi eksport barangan pembuatan utama kita semakin mencanak?

“Apa yang menteri kanan ekonomi merangkap menteri MITI, menteri ekonomi, menteri kewangan, pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang buat?

“Saya harap mereka faham bahawa pasaran saham sesebuah negara mengambarkan keyakinan pelabur serta merupakan petunjuk bagi prestasi sesebuah negara,” tegasnya.

Selain itu, beliau mendesak kerajaan dan BNM untuk melakukan sesuatu untuk mengukuhkan semula nilai ringgit setelah ia dilihat semakin menjunam biarpun harga minyak dunia semakin tinggi.

Situasi ini diyakini menyebabkan, ramai pelabur asing mungkin merasa nilai ringgit akan terus menurun dan kerana itu mereka tidak mahu melabur.

“Kerajaan dan BNM perlu buat sesuatu untuk stabilkan dan memulih nilai ringgit sebagaimana kerajaan BN dahulu buat ketika nilai Ringgit turun mendadak pada akhir tahun 2016 setelah Trump diumum Presiden USA.

“Langkah tersebut berjaya memulihkan nilai Ringgit ke paras RM3.83 ke AS$1 pada tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Masa itu juga kami menubuhkan tabung pelaburan ValueCap khususnya untuk melabur dalam pasaran saham Malaysia bagi mengembalikan keyakinan pelabur serta mengambil kesempatan harga saham yang lebih rendah masa itu,” katanya.

Najib turut percaya masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin serius dan masih belum selesai turut mempengaruhi keyakinan pelabur.

Katanya, isu tenaga kerja mula menjejaskan prestasi pengeluaran serta rancangan perkembangan syarikat-syarikat tempatan.

“Saya sarankan dan saya sangat harap kerajaan hari ini akan mendengar rintihan saya ini kerana tiada sebab kenapa prestasi pasaran saham kita hari ini adalah lagi teruk berbanding masa Covid bermula,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles