US Dan UK Perlu Contohi Strategi Malaysia Tangani Covid-19

Sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa, Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDI) memuji langkah yang diambil Malaysia dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

Terdapat beberapa aspek yang dijadikan tumpuan menerusi pemerhatian dan kajian pakar dalam bidang kesihatan seperti yang dilapor dan dikumpulkan oleh Dr Fifa Rahman.

Antaranya kesiapsiagaan awal, pengalaman menghadapi wabak, tindakan segera menaik taraf kemudahan kesihatan, kecekapan pelaksanaan ujian saringan dalam kapasiti besar, selain pasukan perubatan yang bekerja dengan pengetahuan serta sumber yang ada.

Menegaskan bahawa ia sebagai kejayaan besar buat Malaysia yang masih dapat mengawal jumlah kematian berkaitan virus ini, mereka juga mahu negara barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mencontohi strategi Malaysia dalam menangani Covid-19.

Kedua-dua buah negara seperti yang disebutkan di atas, pada sebelum ini terkenal dengan memberi tumpuan terhadap keselamatan kesihatan, kepakaran dan kesihatan yang kukuh.

“Walaupun terdapat keperluan yang jelas untuk melabur dalam penyelesaian yang membabitkan kos yang besar seperti rawatan dan vaksin baharu, namun pragmatisme dan kepantasan dari segi mewujudkan tindak balas kesihatan asas adalah faktor yang utama.

“Negara berpendapatan sederhana memberi tumpuan kepada asas kesihatan awam yang ada. Ini adalah pelajaran yang mesti kita ingat,” demikian menurut Pengarah DNDI Asia Tenggara, Jean-Michel Pieldagnel.

Beliau turut menyentuh pengalaman Malaysia menangani beberapa wabak sebelum ini yang menjadikan pasukan kesihatan di negara ini mudah dan pantas melakukan maklum balas.

“Pengalaman Malaysia menghadapi Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dan Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) termasuk pasukan pengesanan kontak yang berpengalaman adalah kunci kepada maklum balas yang pantas.

“Malaysia juga secara drastik meningkatkan fasiliti kesihatan dan kapasiti pengesanan (virus) pada Februari lalu, termasuk peningkatan 86 peratus dalam kapasiti makmal ujian, 89 peratus katil penjagaan kritikal dan 49 peratus ventilator,” katanya.

Malah langkah pasukan kesihatan Malaysia yang memasukkan mereka yang disahkan positif COVID-19 ke hospital termasuk yang tidak bergejala, selain menjalankan ujian kepada kontak rapat pesakit yang positif dan yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang berisiko, perlu dijadikan panduan bagi negara lain.

“Walaupun bukti mengenai rawatan masih belum jelas, doktor di Malaysia memberi keutamaan kepada pemantauan untuk melihat kesan sampingan negatif dan menyesuaikan penggunaan ubat,” ujar Pieldagnel lagi.

BBerkaitan

Latest articles