KUALA LUMPUR: Faktor cuaca panas dan lembap di Malaysia dikenal pasti sebagai punca utama topi keledar mudah berbau serta menjadi medium pembiakan kuman jika tidak diselenggara dengan baik.
Sehubungan itu, penggunaan mesin layan diri khas untuk membersih dan menyahkuman topi keledar dilihat wajar diperluaskan, khususnya di kawasan bandar dengan kepadatan penunggang motosikal yang tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, kemudahan tersebut mampu memberi manfaat besar kepada golongan pengguna motosikal termasuk pekerja penghantaran makanan, pemandu p-hailing dan individu yang berulang-alik ke tempat kerja.
Menurutnya, akses kepada perkhidmatan pembersihan topi keledar yang mudah dan cepat penting bagi memastikan aspek kebersihan serta kesihatan pengguna sentiasa terjaga.
“Mempunyai perkhidmatan membersih dan menyahkuman topi keledar penunggang motosikal sebenarnya amat diperlukan oleh ramai pengguna motosikal,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mr.Helmet, hari ini.
Syed Ahmad turut menegaskan bahawa inisiatif berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan harian pengguna, malah membuka ruang kepada model perniagaan baharu berasaskan mesin layan diri.
Katanya, kerjasama strategik antara pengusaha mesin, pemilik premis dan usahawan tempatan boleh membantu memperluaskan lagi penggunaan teknologi tersebut di lokasi tumpuan ramai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CleanXpert Sdn Bhd, Razalee Yahya memaklumkan syarikat menyasarkan pemasangan sehingga 1,000 mesin pembersihan topi keledar ‘Mr. Helmet’ di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Sasaran itu dibuat susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna terhadap perkhidmatan tersebut.
Menurutnya, mesin berkenaan kini telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti stesen minyak, bengkel motosikal, kedai dobi dan kawasan awam.
Malah, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan penempatan ke masjid serta kawasan tumpuan orang ramai bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan secara pantas, selamat dan berkesan.










