Tun Faisal Seru Semua Parti PN Bersatu Menangkan Calon Gabungan

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan semua parti yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) perlu memberikan keutamaan kepada calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tanpa mengalihkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan membantu kemenangan BN hanya akan mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kerana parti itu kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Johor akan bergerak seiring dengan pentadbiran PH-BN di Putrajaya sekiranya BN memperoleh mandat membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua gabungan itu.

“Apabila BN sendiri mengakui akan sehaluan dengan kerajaan PH-BN, maka memberikan undi kepada BN bermaksud memperkukuhkan kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama PH dan DAP.

“Atas sebab itu, semua parti komponen PN perlu berdiri teguh di belakang setiap calon yang bertanding atas tiket PN, bukannya membantu BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli dan penyokong PAS mengundi calon UMNO-BN di kawasan yang tidak ditandingi PN bagi mengelakkan kemenangan calon Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, Bersatu kekal berpegang kepada prinsip kesetiaan terhadap gabungan PN dan akan memberikan sokongan kepada semua calon yang menggunakan lambang rasmi gabungan tersebut.

Beliau menegaskan setiap kemenangan calon PN, termasuk wakil daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), adalah kemenangan bersama yang perlu diraikan oleh seluruh gabungan.

“PN turun bertanding sebagai satu pasukan. Sebab itu semua pemimpin parti komponen perlu menunjukkan kesetiaan kepada gabungan agar peluang memperoleh kemenangan maksimum pada PRN ini dapat direalisasikan,” katanya.

Pada PRN Johor, PAS meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Bersatu bertanding di 16 kerusi, Malaysian Indian People’s Party (MIPP) di lima kerusi dan Pejuang di satu kerusi.

Barisan Nasional serta Pakatan Harapan pula bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

BBerkaitan

Latest articles