KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya memutuskan untuk memberikan sokongan kepada calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada strategi parti untuk memperkukuhkan organisasi dan membuat persediaan lebih rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, MUDA kini memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan kerusi Parlimen Muar di samping memperluaskan pengaruh parti dengan menghantar lebih ramai pemimpinnya sebagai wakil rakyat pada pilihan raya akan datang.
“MUDA kekal komited untuk mempertahankan Parlimen Muar serta menghantar lebih ramai pimpinan MUDA menjadi wakil rakyat yang benar-benar hadir dan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan itu diumumkan selepas MUDA melalui episod mengecewakan pada PRN Johor baru-baru ini apabila kesemua empat calonnya gagal memenangi kerusi yang ditandingi.
Bagaimanapun, Amira berkata analisis parti mendapati sokongan terhadap MUDA terus menunjukkan perkembangan positif sejak 2023, dengan purata peratusan undi yang diterima semakin meningkat walaupun belum berjaya diterjemahkan kepada kemenangan kerusi.
Sementara itu, perkembangan berkenaan hadir sehari selepas Parti Bersama Malaysia turut mengumumkan tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan.
Parti itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat bagi memberi fokus sepenuhnya kepada PRN Melaka, selain mengambil kira kekangan masa, sumber serta beberapa faktor lain, termasuk isu berkaitan konflik melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang turut mewarnai landskap politik negeri berkenaan.










