KUALA LUMPUR: Selebriti dan aktivis masyarakat, Shahrol Shiro menyuarakan keluhan rakyat berhubung peningkatan kos sara hidup yang semakin menghimpit susulan beberapa pelaksanaan dasar ekonomi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 2022.
Pemilik nama sebenar Shahrol Azizie Azmi itu mendakwa, situasi semasa pasca-PH memerintah memperlihatkan bebanan kewangan yang ketara buat rakyat marhaen menerusi kenaikan pelbagai tarif bil dan cukai.
”Selepas Pakatan Harapan memerintah tahun 2022, keadaan semakin menekan. Kos sara hidup semakin tinggi, bil api naik, bil air naik, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) naik dua kali ganda, serta cukai-cukai baharu diperkenalkan.
”Malah, potongan PERKESO naik berganda, bil Indah Water naik dua kali, duti setem dinaikkan dan pelaksanaan e-invois yang diwajibkan turut menyukarkan peniaga kecil di kaki lima termasuk golongan warga emas,” katanya menerusi satu hantaran video di media sosialnya pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan program bantuan subsidi madani (Budi), Shahrol mendedahkan kuota subsidi bahan api sebanyak 200 liter yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian rakyat yang perlu berulang-alik.
Susulan itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh soal kedudukannya sebagai ketua eksekutif negara tanpa mengira keputusan pilihan raya di Johor sebagai satu kenyataan yang ‘sombong’.
Justeru, Shahrol menggesa agar para pengundi di Johor menggunakan mandat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai isyarat teguran yang tegas kepada kepimpinan kerajaan pusat.
”Jadi saya menyeru kepada semua pengundi-pengundi Johor ini, mari sama-sama kita tumbangkan Pakatan Harapan supaya ianya menjadi satu referendum.
”Ia sebagai isyarat kepada Perdana Menteri (PMX) ini jangan lagi sombong dan (agar) dapatlah PMX mengubah nasib kami ini semua ke arah yang lebih baik lagi. Jom pengundi-pengundi PRN Johor ini, kita tumbangkan Pakatan Harapan,” ujarnya lagi.










