KUALA LUMPUR: Bersatu menyifatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS sebagai pihak bertanggungjawab terhadap pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa keputusan berkenaan berpunca daripada tindakan kepimpinan PN yang didakwa melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan gabungan itu.
Beliau berkata, tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, menyuarakan pandangan dan mengundi merupakan pelanggaran serius terhadap Fasal 7.1 Perlembagaan PN.
Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi peraturan organisasi, malah berpotensi menjejaskan kelangsungan dan masa depan gabungan berkenaan.
“Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan dampaknya akan menghancurkan masa depan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak berjaya menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
JPPM berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen serta penjelasan PN yang diterima pada 12 Oktober, namun mendapati tiada justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan gabungan itu akan mencabar kesahan perintah pembatalan berkenaan di mahkamah, selain memohon supaya pelaksanaan dan kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Azmin turut mendakwa terdapat ancaman dan tekanan untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN melalui penggunaan kuasa veto oleh individu yang menurutnya bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi gabungan itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti individu yang didakwa terbabit.
Mengulas tindakan Bersatu membuat aduan kepada JPPM pada 11 Ogos, Azmin menegaskan langkah itu diambil bagi memastikan PN ditadbir secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti, selain mematuhi undang-undang serta perlembagaan sendiri.
Katanya, Bersatu turut memberikan keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos, termasuk mengemukakan penjelasan dan bukti yang didakwa menunjukkan hak parti itu sebagai anggota gabungan telah dinafikan.
Azmin juga mengkritik PAS dan sekutunya kerana didakwa cuba menggambarkan diri mereka sebagai mangsa susulan keputusan JPPM, khususnya ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Hari ini, PAS dan sekutunya memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan cuba meraih simpati menjelang PRN Melaka.
“Hakikatnya, PAS gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan,” katanya.










