Tular Gambar Pak Lah Tunai Umrah Bersama Isteri

TULAR di media sosial beberapa gambar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 83, sedang menunaikan ibadah umrah bersama isterinya.

Gambar itu dikongsikan sendiri oleh Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dalam Facebook beliau malam tadi.

“Pak Lah selamat menunaikan umrah,” katanya.

Perkongsian itu rata-ratanya mendapat komen positif dari warganet yang sama-sama berdoa agar bekas Perdana Menteri itu dapat menunaikan umrah dengan lancar.

September tahun lalu, Khairy Jamaluddin iaitu menantu Pak Lah berkongsikan mengenai keadaan kesihatan terkini bekas pemimpin negara itu.

Ujar Khairy yang ketika itu Menteri Kesihatan Pak Lah menghidap demensia dan tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak pada 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

“Ramai orang tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum. Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya.

Khairy membuat pendedahan kali pertama itu selepas mendapat persetujuan ahli keluarga pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di Kuala Lumpur 11 September tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles