KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) diminta melakukan penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan kebajikan pelajar susulan insiden pembunuhan kejam yang menggemparkan negara baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sebarang kelemahan dalam sistem sedia ada perlu dikenal pasti dan ditambah baik segera bagi memastikan kesejahteraan pelajar terus terjamin.
Menurut beliau, pihak pengurusan institusi berkenaan tidak boleh mengambil ringan isu keselamatan, sebaliknya perlu bertindak proaktif bagi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.
“Saya mahu pengurusan KPTM meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan serta kebajikan pelajar. Jika ada kekurangan, ia perlu diperhalusi dan diperbaiki segera kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes pembunuhan seorang penuntut kolej wanita yang ditemui mati dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Bagaimanapun, identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.
Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.










