TMJ Beri Amaran Lesen Network School Boleh Dibatalkan Jika Langgar Undang-undang

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi amaran bahawa tindakan tegas termasuk pembatalan lesen atau permit operasi akan dikenakan terhadap Network School di Forest City sekiranya institusi itu didapati melanggar undang-undang, syarat pelesenan atau peraturan yang ditetapkan.

Baginda bertitah, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil siasatan mendapati wujud ketidakpatuhan oleh syarikat berkenaan.

“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Walau bagaimanapun, kerajaan Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Isu melibatkan Network School sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa program yang dijalankan di Forest City itu disertai beberapa warga asing, termasuk individu yang didakwa mempunyai kewarganegaraan Israel dan memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Berikutan dakwaan itu, kerajaan Johor menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengesahkan identiti serta status kewarganegaraan individu yang terbabit.

Siasatan turut meliputi semakan terhadap dokumen perjalanan, penggunaan pasport kedua, jenis pas yang digunakan serta tujuan sebenar mereka memasuki Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles