KUALA LUMPUR: Bersama Wangsa Maju mengecam dakwaan yang mengaitkan seorang pemimpin kanan Parti Bersama dengan kes tangkapan khalwat, sambil menggesa tindakan undang-undang dipertimbangkan terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkenaan.
Ahli Parti Bersama bagi Parlimen Wangsa Maju, Ahmad Fariz Abdullah, mendakwa penyebaran dakwaan itu bertujuan menjatuhkan reputasi pemimpin terbabit serta mencemarkan nama baik parti.
Menurutnya, masa penularan dakwaan berkenaan yang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya motif politik di sebalik penyebaran maklumat tersebut.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk serangan terhadap reputasi pemimpin parti dan menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak seharusnya disebarkan tanpa pengesahan.
Sehubungan itu, Ahmad Fariz menggesa Biro Undang-Undang parti supaya memantau perkembangan isu berkenaan, mengumpulkan bukti serta mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.
“Jangan bertolak ansur dan buat tuntutan ganti rugi reputasi (defamasi) di mahkamah tanpa sebarang notis amaran awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan kepada pemimpin kanan berkenaan dan menolak dakwaan yang disifatkannya sebagai naratif palsu.
Ahmad Fariz turut memberi peringatan kepada pengguna media sosial dan pengendali portal berita supaya tidak menyebarkan spekulasi atau kandungan yang berpotensi mengandungi unsur fitnah berkaitan kes tersebut.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan kenyataan berunsur fitnah.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, adil serta profesional.
Menurutnya, Bersama Wangsa Maju tidak akan membiarkan dakwaan berkenaan menjejaskan semangat kepimpinan, ahli dan penyokong parti, khususnya menjelang PRN Melaka.










