Tian Chua Mahu Kembali Ke Parlimen, Terbuka Tanding Semula Di Batu

KUALA LUMPUR: Veteran PKR, Tian Chua, 62, menyatakan kesediaan untuk kembali ke Parlimen dan tidak menolak kemungkinan bertanding semula di kerusi Batu pada pilihan raya akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal itu berkata beliau masih mempunyai tenaga untuk kembali berkhidmat, selain mendakwa masih mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya tetap bergantung kepada kepimpinan PKR sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya parti.

“Saya rasa saya masih mempunyai tenaga untuk menyumbang di Parlimen dan saya mahu kembali,” katanya memetik temu bualnya bersama FMT.

Tian Chua pernah mewakili Batu selama dua penggal bermula 2008, namun tidak dapat mempertahankan kerusi itu pada PRU14 selepas pencalonannya ditolak atas isu denda mahkamah RM2,000.

Pada PRU15, beliau bertanding sebagai calon Bebas di Batu menentang P Prabakaran yang ketika itu dipilih PKR untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Tian Chua kemudiannya dipecat daripada PKR pada Januari 2023.

Namun, beliau berkata hubungan dengan masyarakat Batu kekal kukuh selepas beberapa dekad bersama penduduk di kawasan itu.

Selain soal kembali ke Parlimen, Tian Chua berkata aspirasi politiknya adalah memastikan PKR terus bertahan sebagai sebuah institusi yang kukuh dan mampu diwarisi generasi akan datang.

Menurutnya, PKR perlu kekal memperjuangkan nilai keterangkuman dan kesaksamaan, selain membina sokongan yang tidak bergantung semata-mata kepada prestasi parti dalam setiap pilihan raya.

Beliau mengambil contoh parti politik berusia panjang di negara Barat yang mampu terus relevan meskipun silih berganti antara kemenangan dan kekalahan pilihan raya.

Katanya, PKR juga perlu membina legasi sebagai institusi politik yang mampu bertahan untuk tempoh panjang.

“Bagi saya, itulah perkara utama yang saya harap dapat saya tinggalkan untuk generasi akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles