Tiada Komplot Guling MB Perlis, PN Kukuh – Shahidan

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis menepis dakwaan kononnya wujud gerakan tersusun untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, spekulasi tersebut tidak berasas sama sekali, malah hubungan antara PAS dan Bersatu dalam pentadbiran negeri kekal utuh dan profesional.

Menurut beliau, kepimpinan PAS di peringkat pusat telah pun membuat pendirian jelas untuk terus menyokong kerajaan negeri sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menafikan keperluan untuk sebarang langkah menggugat pentadbiran.

“Cerita ini hanyalah persepsi yang dimainkan pihak tertentu. Tidak timbul soal pakatan untuk menjatuhkan Menteri Besar melalui undi tidak percaya.

“PAS memiliki majoriti kerusi, dan jika ada keperluan, mereka boleh bertindak secara langsung. Namun itu bukan pendekatan parti. Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri menekankan kepentingan menjaga hubungan dan mematuhi keputusan parti,” katanya.

Sebelum ini, Abu Bakar turut menafikan dakwaan bahawa penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung dari hari ini hingga 23 April dibuat kerana kebimbangan terhadap usaha menjatuhkannya.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat secara individu, sebaliknya berdasarkan nasihat dan pertimbangan tertentu demi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS sebelum ini tampil menuntut penjelasan berhubung penangguhan tersebut, diketuai Adun Sanglang, Shukri Ramli bersama lima lagi wakil rakyat.

Bagaimanapun, Shahidan menegaskan tindakan mereka adalah atas kapasiti peribadi sebagai wakil rakyat dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

“Kita melihat tindakan itu sekadar untuk mendapatkan penjelasan. Ia tidak sama sekali bertujuan mencetuskan ketegangan atau menggugat keharmonian dalam kerajaan PN,” katanya lagi.

Beliau yakin segala keputusan berkaitan sidang DUN dibuat mengikut prosedur dan undang-undang, sekali gus menolak tanggapan bahawa ia didorong faktor politik atau ketakutan kehilangan kuasa.

BBerkaitan

Latest articles