‘Tiada Keberkatan’ Dalam MN Bila Ada Yang Ego, Berpura-pura

 

KUALA LUMPUR: Semangat muafakat perlu dijunjung, dan bukannya dimanipulasi oleh pihak yang hanya mahu melunas dendam ke atas UMNO, demikian tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu juga mempertahankan pendirian partinya dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) berhubung tindakan PAS yang bekerjasama dengan BERSATU menerusi Perikatan Nasional (PN), namun kini UMNO hanya ‘bertepuk sebelah tangan’.

Apatah lagi apabila mengingatkan bagaimana pimpinan PAS kononnya sering bersorak menyatakan sokongan kepada MN, tetapi menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN pada PRN Melaka.

“Muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan. Ia biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh pihak yang berdendam kesumat ke atas UMNO.

“Tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ketika PRN Melaka, pimpinan PAS membuat keputusan bergandingan dan bersama BERSATU yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO.

“UMNO menghormati pendirian dan hak pimpinan PAS untuk bersama Perikatan Nasional (PN) kerana inilah sebuah negara demokrasi.

“Malah, UMNO tidak pernah mengarahkan PAS tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai,” katanya.

Merujuk kepada dakwaan PAS kononnya UMNO melanggar perjanjian MN, Ahmad Zahid berpandangan bahawa PAS sengaja mencipta alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politiknya.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, UMNO, menurut Ahmad Zahid, perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.

“Sebab itu UMNO mempercayai MN yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.

“MN di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles