‘Tiada Jual Tempat, Tiada Pintu Belakang’ JKNCR Pertahan Integriti Sistem Kemasukan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR) tampil menolak keras dakwaan kononnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengamalkan kemasukan melalui “pintu belakang” atau menjual tempat kepada pelajar yang berkemampuan.

Dalam kenyataan hari ini, JKNCR menegaskan semua proses pengambilan pelajar ke universiti awam dilaksanakan mengikut syarat akademik, merit, kapasiti program, keperluan akreditasi serta kelulusan pihak berkuasa universiti tanpa sebarang kompromi terhadap integriti sistem.

Menurut JKNCR, dakwaan bahawa universiti awam menjual tempat pengajian adalah tidak berasas sama sekali, malah jumlah tawaran kemasukan melalui saluran perdana terus meningkat setiap tahun.

Bagi sesi akademik 2025/2026, sebanyak 88,102 tawaran dikeluarkan berbanding 79,845 pada sesi sebelumnya.

Jelasnya, pelbagai saluran kemasukan yang ditawarkan termasuk saluran terbuka, antarabangsa, program eksekutif, APEL dan pembelajaran sepanjang hayat adalah laluan rasmi yang diiktiraf kerajaan serta tertakluk kepada syarat akademik dan kelulusan Senat Universiti.

“Saluran terbuka bukan pintu belakang. Ia diwujudkan sebagai mekanisme sah bagi membantu kemampanan kewangan universiti tanpa menjejaskan kuota kemasukan pelajar melalui saluran perdana,” menurut kenyataan itu.

JKNCR turut menyifatkan dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui “pintu belakang” sebagai tuduhan serius yang boleh menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi negara serta menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.

Pada masa sama, badan itu menolak dakwaan bahawa pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dipinggirkan.

Data kemasukan bagi sesi akademik 2025/2026 menunjukkan hampir 80 peratus daripada 88,102 pelajar yang menerima tawaran melalui UPUOnline terdiri daripada golongan B40 dan berpendapatan rendah.

JKNCR juga menegaskan kemampuan kewangan bukan faktor penentu kemasukan ke universiti awam kerana setiap calon tetap perlu memenuhi syarat akademik yang ditetapkan, khususnya bagi program profesional seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, perakaunan dan undang-undang yang tertakluk kepada piawaian badan profesional serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa, universiti awam menyediakan 493 bentuk bantuan dan insentif bernilai lebih RM115 juta sepanjang 2025 dan 2026, termasuk bantuan pendaftaran, biasiswa, zakat, Menu Siswa, Dapur Siswa MADANI serta pelbagai bantuan khas untuk pelajar kurang berkemampuan.

JKNCR turut memberi jaminan bahawa tiada pelajar akan dinafikan hak untuk mendaftar hanya kerana tidak mampu menjelaskan bayaran awal pengajian, susulan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya universiti memberi fleksibiliti kepada pelajar yang memerlukan.

Sehubungan itu, JKNCR menyeru semua pihak agar berhenti menyebarkan dakwaan tidak berasas dan membincangkan isu pendidikan tinggi secara bertanggungjawab berlandaskan fakta, demi memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

BBerkaitan

Latest articles