KUALA PILAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan beliau sentiasa bersedia menerima kritikan dan pandangan daripada rakyat, namun mengingatkan agar teguran disampaikan secara berhemah tanpa menafikan segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Menurutnya, setiap pentadbiran pasti mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki, justeru beliau tidak pernah menolak nasihat atau teguran selagi ia bertujuan membina.
“Tegurlah saya, nasihatlah saya, tetapi jangan sampai menghina dan mendakwa kerajaan ini tidak melakukan apa-apa.
“Usia saya sudah lanjut dan saya bersyukur masih diberi kesihatan serta kesempatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Jika ada kelemahan, tegurlah kerana saya sedia mendengarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan wajar diberikan ruang untuk memperbetulkan kelemahan serta kecuaian yang berlaku, termasuk legasi masalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Katanya, Kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan pembaharuan secara berperingkat, khususnya dalam memperkukuh kedudukan ekonomi rakyat, membela nasib orang Melayu yang memerlukan serta memartabatkan Islam melalui dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengabaikan isu kos sara hidup, sebaliknya terus berusaha mengurangkan beban rakyat meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
Mengambil contoh penetapan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, Anwar berkata langkah itu hanya dapat dilaksanakan kerana kerajaan sanggup menanggung subsidi yang mencecah kira-kira RM40 bilion setiap tahun.
“Setiap kali mengisi minyak, ingatlah kerajaan menanggung kos yang besar supaya rakyat tidak terbeban. Walaupun harga barangan import dan kos sara hidup meningkat, kita tetap berusaha sedaya upaya mengurangkan tekanan yang ditanggung rakyat,” katanya.










