Tak Tanding Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO: Akan Beri Nafas Baharu

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) lalu dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan memberi nafas baharu kepada parti membina balik kekuatan serta melaksanakan hala tuju baru yang dikemuka oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan dengan itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi menyangkal dakwaan dan tohmahan pelbagai pihak yang mengatakan perpecahan UMNO akan berlaku apabila tiada pertandingan diadakan bagi dua jawatan tertinggi parti.

Beliau berkata, banyak sangat prasangka dan tomahan setelah PAU 2022 tamat.

“Naratif puak ini ialah demokrasi UMNO sudah mati. Malahan, desperado dalam UMNO mendakwa ia tidak sah kerana melanggar perlembagaan UMNO. Lebih dasyat lagi ada yang tuduh wujud pengundi hantu.

“Peliknya kali ini mereka amat berminat untuk bertanding. Masa UMNO kalah 2018 mereka lari. Ini kerana ketika itu UMNO hilang kuasa.

“Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) dan mereka takut didakwa dan dipenjara. Mereka tahu Tun M akan membalas dendam. Mereka sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua mulai jauhkan diri dari UMNO, Datuk Seri Najib Razak (Najib) dan Zahid. Takut terpalit. Sekarang mereka timbul balik. Mereka teringin untuk bertanding. Kenapa? Kerana UMNO parti dalam kerajaan.

“Mana mungkin UMNO akan mendakwa mereka. Hipokrit betul. Mereka juga teringin kerana kalau menang, mereka secara automatik akan jadi Menteri.

“Sudah ada yang bersuara, kalau menang, dia kekal sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM). ‘No Anwar No DAP’ hanya alasan jatuhkan Zahid.

“Isu ini sudah basi. PAU kali ini mematikan isu tersebut. Tidak berbangkit sama sekali. Tetapi puak desperado ini memang konsisten. Iaitu konsisten melawan keputusan parti,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Rentetan daripada itu, kata beliau, pastinya mereka (puak desperado) ini terus membising walaupun perwakilan sudahpun membuat keputusan (tiada pertandingan diadakan dua jawatan tertinggi parti).

“Sebab itu ada yang turut viralkan komen P Ramasamy DAP yang ahli DAP sendiri tolak. Semua komen komen negatif oleh ahli akademik dan media portal turut disebarkan.

“Keputusan perwakilan dianggap tidak demokratik. Sedangkan dalam mesyuarat MKT pada 5 Januari 2023, terdapat cadangan supaya jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan.Cadangan itu ditolak.

“Presiden UMNO juga tidak bersetuju. UMNO pernah dua kali tiada pertandingan jawatan Presiden. Kedua-duanya diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bukan oleh perwakilan. Kenapa orang luar UMNO turut bising. Konon UMNO tidak demokratik,”katanya.

Puad turut mendakwa, sebenarnya mereka tidak suka Zahid.

“Politiknya liat untuk dibunuh. Isu kluster mahkamah gagal jatuhkan Zahid.

“Perpecahan UMNO bertambah parah bila UMNO kalah Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14). Puak yang takut didakwa ini buat kumpulan sendiri. Ada yang jadi katak. Ada yang bersembunyi.

“Puak desperado ini menyusahkan parti selama lima tahun. Mereka tidak ikut keputusan parti. Jadi duri dalam daging.

“Keputusan PAU 2022 mengabsahkan gelagat mereka telah ditolak. Ia mendedahkan secara terbuka siapa kuncu-kuncu mereka. Kali ini mereka tersisih. Mereka tambah sukar untuk menguasai parti dan guna parti untuk agenda peribadi,”katanya.

Ujar beliau, UMNO pernah haram kerana pertandingan antara Dr Mahathir-Ku Li.

“Ia tidak akan berulang dan politik wang juga dapat dielak.

“UMNO boleh fokus untuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) di enam negeri. Maka tidak benarlah perpecahan UMNO akan semakin dalam seperti yang didakwa,”katanya. – Edisi 9

Latest articles

Related articles

spot_img