Tajuddin tahu mengapa beliau digugurkan dari MKT – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR : Kritikan terbuka dan pandangan bertentangan keputusan Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO menjadi antara sebab Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, digugurkan sebagai ahli MKT.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menjelaskan perkara itu, berkata Tajuddin juga tahu sebab musabab dirinya digugurkan dari jawatan dilantiknya itu.

“Dalam hal ini, saya sangat berlapang dada, jika secara peribadi (keputusan) saya tidak dipersetujui, secara peribadinya. Tetapi apabila keputusan parti tentukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh parti.

“Saya fikir, tanyalah diri beliau sendiri. Tidak adil kalau saya memberi tahu secara umum kenapa, tetapi tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan kepada parti.

“Itu sebabnya (Tajuddin digugurkan). Kena tanya beliau sendiri apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup. Tanya beliau sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Karnival BN Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Tajuddin juga tidak perlu merayu terhadap keputusan penggugurannya itu, kerana lantikan itu dibuat dan terletak di bawah kuasa presiden.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan dilantik, saya fikir tidak ada mana-mana elemen rayuan boleh dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, ahli MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

“Bukan saja apa yang sudah menjadi ketetapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), apatah lagi jika kita menjadi sebahagian ahli MKT, sesuatu ketetapan harus dipatuhi.

“Kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat, tetapi jika sesuatu keputusan dibuat, ia adalah keputusan parti yang mesti dipatuhi,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img