JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak menghentikan usaha memanaskan suhu politik susulan polemik yang tercetus berhubung kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang didakwa menyentuh isu berkaitan institusi raja.
Menurut Anwar, kenyataan Mohamad atau Mat Sabu perlu dilihat dalam konteks pandangan politik dan tidak seharusnya diperbesar sehingga mengaitkan institusi diraja dengan persaingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menegaskan pilihan raya perlu berlangsung secara matang dengan persaingan antara parti-parti politik, tanpa melibatkan institusi raja dalam kempen atau polemik yang tercetus.
“Kita usah panaskan suasana. Dia beri pandangan politik. Saya sendiri mempunyai perbincangan yang sangat baik dengan TMJ dan persefahaman kami juga berada pada tahap yang baik.
“Jadi, biarlah pilihan raya ini berlangsung antara parti-parti yang bertanding dan jangan kaitkan institusi raja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), hari ini.
Anwar diminta mengulas kontroversi yang timbul susulan ucapan Mohamad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi termasuk dakwaan bahawa kenyataan itu mengandungi sindiran terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam yang disifatkannya sebagai antara faktor utama peningkatan prestasi Malaysia dalam World Competitiveness Index.
Beliau berkata, pencapaian itu turut mendapat perhatian Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, ketika lawatan rasminya ke negara berkenaan baru-baru ini.
“Presiden Turkmenistan memuji prestasi Malaysia dalam World Competitiveness Index. Saya berterima kasih, namun saya sedar kejayaan itu bukan kerana saya seorang.
“Ia hasil kecekapan dan komitmen seluruh pasukan perkhidmatan awam di negara ini yang terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan,” katanya.










