KUALA LUMPUR: Bersatu tampil memperbetulkan dakwaan berhubung pendiriannya dalam isu kemasukan parti baharu ke dalam Perikatan Nasional (PN), dengan menegaskan bahawa parti itu hanya membantah penyertaan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan bukannya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, laporan yang menggambarkan seolah-olah pemimpin Bersatu menolak kemasukan kedua-dua parti berkenaan adalah tidak tepat serta boleh mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, Bersatu secara konsisten menyokong usaha membawa Pejuang menyertai PN, namun mempunyai bantahan terhadap kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM), yang kini dijenamakan semula sebagai Wawasan.
“Bersatu ingin menegaskan bahawa parti ini menyokong kemasukan Pejuang ke dalam PN dan hanya membantah kemasukan PCM,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebagai reaksi terhadap laporan sebuah akhbar tempatan.
PCM sebelum ini diambil alih oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama kumpulan penyokongnya sebelum dijenamakan semula sebagai Wawasan.
Kontroversi itu timbul selepas laporan media mendakwa keputusan menerima Wawasan dan Pejuang sebagai parti komponen PN tidak dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan tersebut yang berlangsung Isnin lalu.
Memetik sumber, laporan berkenaan menyatakan seramai 11 anggota MT menyokong cadangan itu manakala lapan lagi membantah, dengan kumpulan yang menolak didakwa terdiri daripada pemimpin Bersatu.
Bagaimanapun, Tun Faisal menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai laporan yang tidak benar serta mengandungi fakta mengelirukan.
Beliau turut berharap pembetulan dibuat bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan penyokong dan masyarakat.
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini menjelaskan bahawa bantahan terhadap PCM dibuat atas beberapa faktor, termasuk isu hubungan antara parti-parti dalam PN yang masih belum stabil selepas PAS mengambil keputusan memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Beliau juga mempersoalkan proses permohonan PCM menyertai PN yang didakwa belum memenuhi keperluan tertentu, termasuk status pertukaran kepimpinan dan penjenamaan semula parti itu yang menurutnya masih belum mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan bahawa Wawasan dan Pejuang diterima sebagai parti komponen gabungan itu selepas mesyuarat MT berkenaan.
Hamzah pula menegaskan partinya kini sah menjadi sebahagian daripada PN selepas proses penjenamaan semula PCM kepada Wawasan disempurnakan.










