Susulan Kemenangan BN, Onn Hafiz Mahu Wakil Rakyat Tunai Amanah, Bina Johor Tanpa Mengira Fahaman Politik

JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan penguasaan melebihi 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 disifatkan sebagai mandat jelas daripada rakyat yang perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan lebih berkesan dan penyelesaian tuntas terhadap isu rakyat.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu bukan sekadar kejayaan politik, malah menjadi suntikan semangat baharu kepada seluruh kepimpinan BN untuk menggandakan usaha membela kebajikan rakyat sepanjang penggal akan datang.

Menurut beliau, sokongan padu yang diberikan Bangsa Johor sehingga BN mencatat keputusan lebih baik berbanding PRN Johor 2022 amat dihargai dan tidak akan disia-siakan.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya mewakili kepimpinan Barisan Nasional Johor mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas mandat yang begitu memberangsangkan.

“Kepercayaan ini menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus turun padang, menyantuni rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi dengan lebih baik. Itulah komitmen kami selepas diberikan mandat sebesar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini, malam Sabtu, yang turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor dan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, mengingatkan semua calon BN yang menang agar tidak leka dengan kemenangan sebaliknya memikul amanah besar yang diberikan rakyat.

Katanya, setiap wakil rakyat BN perlu berkhidmat untuk seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang kaum mahupun kecenderungan politik.

“Mandat ini adalah amanah untuk menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak, itu bukan lagi persoalannya. Selepas pilihan raya, tanggungjawab kita ialah menjaga semua rakyat termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Marilah kita rapatkan saf, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Pilihan raya sudah berakhir, kini tiba masanya kita bersama-sama membina Johor yang lebih maju dan sejahtera seperti yang diimpikan seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Sehingga jam 8.30 malam, keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendahului di 49 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) berada di hadapan di tujuh kerusi.

BBerkaitan

Latest articles