PAS Persoal Jemputan Pemimpin Junta Myanmar Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan keputusan kerajaan menjemput pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia ketika negara itu masih berdepan konflik bersenjata, penindasan politik dan krisis kemanusiaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jemputan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada pemimpin berkenaan pada 7 hingga 8 Oktober lalu menimbulkan persoalan mengenai pendirian Malaysia terhadap isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa.

Menurutnya, sambutan rasmi terhadap Min Aung Hlaing berisiko menormalisasikan kepimpinan junta yang terus dikaitkan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia, termasuk terhadap komuniti etnik minoriti di Myanmar.

Beliau berkata, PAS memahami kebimbangan rakyat berhubung isu kemasukan warga asing tanpa dokumen, pengurusan pelarian serta ancaman terhadap keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kepentingan diplomasi tidak seharusnya mengatasi prinsip keadilan antarabangsa atau mengorbankan kepentingan rakyat dan keselamatan manusia.

“Prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut identiti pemimpin atau kepentingan diplomatik. Malaysia mesti konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa, sama ada melibatkan Palestin, Myanmar atau mana-mana negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, PAS turut membangkitkan persoalan mengenai komitmen Malaysia terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN yang antara lain menekankan penghentian keganasan, dialog inklusif dan penyelesaian politik bagi krisis Myanmar.

Selain itu, PAS menegaskan bahawa penghantaran pulang warga Myanmar dan pelarian yang berada di Malaysia perlu dilaksanakan melalui proses yang jelas, teratur serta mengambil kira risiko keselamatan dan perlindungan kemanusiaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu membezakan pengurusan pelarian dengan tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), selain memastikan proses penghantaran pulang tidak mendedahkan individu terbabit kepada risiko penganiayaan.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mendesak kerajaan menjelaskan tujuan sebenar kunjungan Min Aung Hlaing serta pendirian Malaysia terhadap dakwaan jenayah antarabangsa yang dikaitkan dengan kepimpinan junta Myanmar.

Beliau turut menggesa kerajaan memperincikan mekanisme saringan dan jaminan keselamatan bagi warga Myanmar yang dihantar pulang, termasuk memastikan tiada pemulangan dilakukan dengan melanggar kewajipan perlindungan antarabangsa.

Selain itu, beliau mahu pengurusan pelarian dan PATI diperkemas menerusi dasar yang jelas, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama serantau berteraskan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

“Malaysia mesti mengutamakan rakyat, mempertahankan maruah negara dan melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan secara tegas, adil serta berprinsip,” katanya lagi.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu Myanmar perlu mengimbangi kepentingan keselamatan negara, kedaulatan sempadan dan tanggungjawab kemanusiaan tanpa mengabaikan prinsip keadilan antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles