Suspek Utama Bunuh Suri Narudin Didakwa Esok

TAMPIN: Misteri pembunuhan Suri Narudin yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg di belakang rumah terbiar di Kampung Batu 4, Pedas, akhirnya dibawa ke muka pengadilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan suspek utama berusia 51 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin esok bagi menghadapi pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Menurut beliau, seorang lagi lelaki berusia 41 tahun yang sebelum ini ditahan berkaitan kes sama tidak akan didakwa, sebaliknya dijadikan saksi pendakwaan bagi membantu prosiding kes berkenaan.

Alzafny turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan siasatan serta proses perundangan yang sedang berjalan.

Sebelum ini, polis mengesahkan mayat wanita yang ditemukan dalam sebuah beg di rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Rembau pada 18 Disember lalu adalah Suri Narudin, yang dilaporkan hilang sejak 15 Disember di Ampang, Selangor.

Pengesahan identiti dibuat hasil perbandingan cap jari mangsa dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia yang menunjukkan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga terdekat mangsa, sekali gus menamatkan teka-teki kehilangan wanita berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles